KLUANG : Meskipun negara dilanda Covid-19 sejak Mac lalu, Pertubuhan Peladang Negeri Johor berjaya memasarkan tiga juta kilogram (KG) hasil pertanian dengan membabitkan hasil bernilai RM13 juta sepanjang tahun ini.
Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor, Datuk Sawalludin Ahmad berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif memasarkan hasil pertanian ahli peladang negeri ini di samping mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Ini juga supaya hasil pertanian dapat dipasarkan kepada pengguna dan memastikan bekalan tidak terputus dalam pasaran.
“Malah kami mempunyai seramai 105,552 ahli selain memiliki 27 Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Hasil Pertanian (PPHP) serta 29 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Johor untuk memasarkan hasil pertanian itu termasuklah ikan, ayam, buah-buahan dan sayur-sayuran segar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang Kali ke-38 di sini hari ini.
Dalam majlis itu, satu memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai pihaknya bersama Pasar Raya Songmart bagi membolehkan hasil pertanian ahli Peladang Kluang dapat dipasarkan ke 12 cawangan pasar raya itu di Johor Bahru, Kluang dan Bandar Tenggara.
Menurut Sawalludin, pihaknya menjangkakan sebanyak 60 tan metrik hasil pertanian Peladang bakal dipasarkan semua cawangan pasar raya berkenaan dengan anggaran hasil berjumlah RM300,000 sebulan.
Katanya, melalui usaha ini, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang berjaya membantu ahlinya yang sebelum ini hanya mampu menjual sekitar 200 hingga 300KG untuk tempoh seminggu.
“Sebelum ini kami berjaya memasarkan lebih 150 metrik tan hasil pertanian yang diusahakan oleh 66 usahawan di dalam PPK Kluang sejak April tahun ini dan kini diperluaskan lagi ke 12 cawangan Pasar Raya Songmart seluruh negeri,” katanya.-UTUSAN