Covid-19: Malaysia kritik PBB lambat bertindak - Utusan Malaysia

Covid-19: Malaysia kritik PBB lambat bertindak

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dilihat lambat bertindak dalam membantu negara-negara anggota dalam menangani krisis pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Keselamatan PBB gagal berbincang berhubung isu berkenaan ketika awal penularannya walaupun pandemik itu memberi ancaman besar kepada keselamatan kesihatan dunia.

Bercakap dalam Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) sesi Ke-75 di New York, Muhyiddin berkata, Majlis Keselamatan itu hanya meluluskan resolusi pada 1 Julai lalu bagi mendesak supaya menghentikan permusuhan dalam kalangan negara yang terlibat supaya memberi tumpuan utama kepada usaha memerangi pandemik Covid-19.

“Ini adalah langkah positif, namun kita hanya boleh bayangkan manfaat tindakan itu sekiranya ia diambil lebih awal,” katanya dalam rakaman video dan disiarkan dalam laman web TV United Nations malam tadi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, negara-negara anggota PBB perlu terus berwaspada terhadap kemungkinan ancaman keganasan yang akan mengambil kesempatan dalam tempoh tidak menentu ini tidak hanya memikirkan kesan sosioekonomi akibat pandemik Covid-19.

Justeru itu, kata beliau, komunikasi telus, rangkaian kerja dan kerjasama risikan yang lebih baik di peringkat negara dan antarabangsa, adalah penting bagi memerangi keganasan dan radikalisme.

Beliau menjelaskan, setiap negara tidak boleh mengabaikan fakta bahawa kumpulan pengganas dapat meningkatkan usaha mereka untuk mengambil peluang daripada keadaan tidak menentu ketika ini bagi memperluas agenda mereka.

“Ini adalah perang psikologi yang dilancarkan kepada mereka yang leka dan kita mesti bersatu hati dan fikiran untuk mencapai kejayaan. Strategi komunikasi efektif di semua saluran yang ada mesti diutamakan untuk memastikan bahawa sebarang maklumat salah dapat diatasi tanpa melanggar undang-undang negara masing-masing,” katanya.

Muhyiddin pada masa sama turut menempelak tindakan PBB memperuntukkan lima kerusi tetap dalam Majlis Keselamatan itu yang disandang lima negara pemenang perang dunia yang mempunyai kuasa veto.

Jelas beliau, hal itu membuktikan organisasi dunia berkenaan perlu direformasikan dan sudah tiba masanya komposisi Majlis Keselamatan mengambil kira keanggotaan semasa PBB.

Beliau menegaskan, dalam mengejar satu tujuan bersama, ia tidak harus wujud ‘pakatan’ yang mana kuasa veto dilihat dilaksanakan lebih 200 kali sejak tahun 1946.

“Tidak ada yang demokratik dalam cara veto digunakan. Veto terdedah kepada penyalahgunaan, baik secara ikhlas, hipokrit atau untuk menegakkan kesalahan.

“Inilah sebabnya mengapa kita perlu membawa proses reformasi untuk mewujudkan sebuah PBB dan Majlis Keselamatannya yang lebih baik supaya dunia boleh bergantung harap untuk melihat masalah ditangani dengan lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN