PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengenal pasti satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Benteng LD yang membabitkan tujuh tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif Covid-19 itu melibatkan enam Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan satu warga tempatan yang berusia antara 22 hingga 55 tahun.
“Setakat ini sebanyak 50 orang tahanan di saring pada 28 Ogos lalu dengan 43 individu dikesan negatif.
“Kesemua kes positif ini tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan harian Covid-19, di sini hari ini.
Tambah Noor Hisham, kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal sempadan negara berjaya menahan PATI dari memasuki negara sekali gus mengelakkan dari penularan jangkitan wabak Covid-19 dari negara luar.
“Kesemua PATI yang ditangkap akan disaring terlebih dahulu sebelum di masukkan ke dalam lokap. Hasil saringan tersebut kita mendapati tujuh individu dikesan positif Covid-19.” jelasnya.
Katanya, langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.
“Aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan sementara punca jangkitan masih dalam siasatan,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu terdapat peningkatan satu kes baharu bagi Kluster Tawar dan Telaga di Kedah.
“Sebanyak 17,880 individu di saring bagi Kluster Tawar di Kedah dan Pulau Pinang dengan 75 orang dikesan positif, 16,376 orang negatif sementara di Perak kekal 11 saringan dengan semuanya dilaporkan negatif.
“Sementara 1,008 orang disaring bagi Kluster Telaga di Pulau Pinang dengan enam orang di kesan positif, 968 orang negatif dan 33 orang masih menunggu keputusan. – UTUSAN