DUNGUN: Seorang buruh binaan cedera di pinggang akibat terkena peluru sesat ketika memikat ayam hutan di Kampung Besul Lama, Bukit Besi dekat sini semalam.
Mohd. Suhaimi Damuri, 34, dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu bagi mengeluarkan peluru.
Ayah mangsa, Damuri Mamat, 60, berkata, anaknya ke kawasan hutan berhampiran rumah seorang diri kira-kira pukul 2.30 petang.
“Ketika kejadian dia duduk di bawah pokok menyiapkan jerat dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat sebelum terasa sakit di kanan badan.
“Dalam keadaan cedera dan berlumuran darah, anak saya berjalan menuju ke motosikal tetapi pengsan. Mujurlah anaknya dijumpai rakannya sebelum dihantar pulang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Damuri berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 6 petang setibanya di rumah sebelum membawa anaknya ke klinik berdekatan.
Katanya, anaknya kemudian dihantar ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke HSNZ.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pemeriksaan x-ray menemui satu peluru di perut dan pinggul mangsa.
“Serpihan peluru juga ditemui di tulang belakang mangsa,” kata beliau.
“Mangsa bagaimanapun tidak mengalami pendarahan dalaman dan dibawa ke HSNZ untuk dikeluarkan peluru,” katanya.- UTUSAN