KEMAMAN: Seorang pelajar tingkatan lima antara 16 individu ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Plaza Tol Jabor semalam.
Dalam operasi pukul 12.30 tengah malam, pelajar lelaki berusia 17 tahun dan tujuh individu lain dikesan memandu dengan aksi merbahaya secara melawan arus dari Kilometer 250 hingga Kilometer 249.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan, Kawalan Lalu-Lintas dan Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, lima pemandu kenderaan termasuk pelajar berkenaan dari Kemaman manakala tiga lagi dari Setiu dan Jertih di Trengganu manakala bakinya dari Kuantan, Pahang.
Menurut beliau, operasi itu turut berjaya mematahkan lumba haram dua kumpulan mat rempit iaitu Cheneh dan Felda Neram 1 yang menunggang motosikal Yamaha 125zr.
Katanya, menerusi serbuan pertama pukul 12 tengah malam, seramai dua penunggang motosikal ditahan semasa mereka melakukan aksi ‘superman’ secara melawan arus.
“Seorang penunggang ditahan di lokasi kejadian manakala seorang lagi melarikan diri ke dalam hutan selepas meninggalkan motosikalnya di pembahagi jalan.
“Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditahan di rumahnya di Beserah, Kuantan pada pukul 1.30 petang dan kita juga berjaya menahan lima lagi lelaki yang disyaki bersubahat dalam perlumbaan haram itu sebagai penganjur dan orang tengah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nadzri berkata, 11 motosikal disita dan pemeriksaan mendapati sembilan daripada penunggang tiada lesen.
Katanya, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun di sebuah rumah di Kampung Seberang Balok, Kuantan pada pukul 4 petang yang mengaku menyimpan wang taruhan perlumbaan.
“Pemeriksaan terhadap suspek menjumpai wang tunai RM4,000 yang berada dalam genggaman tangannya, disyaki wang hasil pertaruhan lumba haram,” katanya.
Menurut Mohd. Nadzri, kesemua suspek yang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN