GOPENG: Sebutir bom tangan lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua ditemukan di kawasan dusun di Kampung Dusun Seribu di Sungai Itek dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, bom tangan itu ditemukan seorang lelaki yang sedang memotong rumput di kawasan berkenaan pada pukul 9.30 pagi.
Katanya, Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak tiba pada pukul 2 petang untuk mengenal pasti dan memusnahkan bom berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati bom dengan ukur lilit 21 sentimeter dan panjang 11 sentimeter itu adalah bom tangan jenis ‘hand grenade fuzes‘.
“Bom yang telah berkarat itu dipercayai bom lama peninggalan Perang Dunia Kedua,” katanya.
Menurut beliau, bom tangan tersebut telah dipindahkan ke kawasan tanah lapang di Kampung Tersusun Baru di sini untuk dimusnahkan.
Katanya, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku semasa proses meletupkan bom pada pukul 2.50 petang.
“Lokasi kejadian merupakan kawasan dusun buah-buahan dan sayuran milik penduduk yang telah diusahakan sejak empat tahun lalu,” katanya.