JOHOR BAHRU: Cubaan membawa masuk biji kopi dari Indonesia ke negara ini tanpa permit import digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor semalam.
Pengarahnya, Nur Afifah A. Rahman berkata, biji kopi itu dibawa masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini.
Katanya, pihaknya menemukan barangan dagangan tersebut ketika membuat pemeriksaan pada pukul 10 pagi.
“Ketika pemeriksaan dibuat di pejabat pos DHL LTAS, pegawai menemukan bungkusan mengandungi biji kopi seberat 18.4 kilogram dianggarkan bernilai RM790.13.
“Pemeriksaan lanjut mendapati biji kopi tersebut tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan Maqis dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nur Afifah, biji kopi tersebut dirampas Maqis Johor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan yang sah. – UTUSAN ONLINE