Beri perhatian nasib peneroka Kesedar - Utusan Malaysia

Beri perhatian nasib peneroka Kesedar

TENGKU Razaleigh Hamzah (kiri) mengadakan perbincangan dengan ketua peneroka Kesedar di Bukit Cekati, Gua Musang, Kelantan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) perlu memikirkan cadangan baharu untuk membantu 2,228 peneroka di sembilan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar di daerah ini.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, perkara itu termasuk menyelesaikan tuntutan ladang sawit yang ditanam semula oleh sebahagian peneroka Kesedar.

“Apabila tekanan hidup mula dirasai telah berlaku sedikit kekecohan antara peneroka dan pihak pengurusan Kesedar.

“Peneroka mula bertindak supaya ladang sawit mereka yang sudah mengeluarkan hasil lebih dua tahun lalu diserah semula kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Cekati di sini hari ini.

Tengku Razaleigh berkata, beliau sedih dengan permasalahan yang timbul kerana menganggap peneroka Kesedar dan Felda seperti anak buahnya sendiri.

Katanya, setiap masalah yang berlaku itu perlu ada saluran terbaik untuk diselesaikan secara berkesan..

“Dahulu hutang yang dilonggok kepada peneroka juga dapat diselesaikan apabila kerajaan Pusat bersetuju melupuskan semua hutang yang ditanggung selepas berunding.

“Kita mengakui peneroka Kesedar mendapat bantuan bulanan sara hidup sebanyak RM1,000 namun kini jumlah itu nyata sudah tidak mencukupi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN