SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang bekas tentera kerana memukul isterinya sehingga cedera selepas menuduh mangsa berlaku curang dalam kejadian di rumah mereka di Taman Bandar Puteri Jaya di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia 30 tahun dan merupakan suri rumah, membuat laporan polis setelah mendakwa suaminya yang berumur 36 tahun memukulnya pada pukul 5 petang.
“Berdasarkan laporan mangsa, suaminya telah menuduh mangsa berlaku curang sehingga menimbulkan pertengkaran antara mereka berdua.
“Mangsa juga mendakwa telah ditumbuk pada mata sebelah kanan, ditampar pipi sebelah kiri sehingga hujung kening kiri dan kepala ketika pertengkaran itu berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Adzli berkata, mangsa kemudian bertindak meninggalkan rumah dengan membawa empat orang anak berusia satu hingga tujuh tahun pada keesokan harinya sebelum tampil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk membuat laporan.
“Hasil siasatan mendapati pasangan suami isteri ini telah berkahwin selama lapan tahun dan mempunyai empat orang anak.
“Suspek adalah bekas tentera yang telah diberhentikan kerja pada tahun 2019 kerana positif dadah,”ujarnya.
Katanya, suspek telah direman mulai hari ini sehingga 4 September ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. – UTUSAN