JOHOR BAHRU: Laporan bedah siasat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Abdul Aziz Aznam tidak menemui kecederaan fizikal dan penderaan yang boleh dikaitkan dengan kematiannya.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bedah siasat tersebut juga tidak menemui kecederaan luar dan unsur-unsur jenayah lain.
“Namun kita masih menunggu laporan (penuh) makmal. Setakat ini, itu yang kita ada. Kita juga ambil keterangan seorang saksi yang juga anggota tentera yang mendakwa nampak mangsa lari dan terjun dari tingkat tiga,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Minggu lalu, Abdul Aziz meninggal dunia kerana cedera parah di kepala dan badan selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman di Kem Majidee, Batu Pahat sebelum meninggal dunia.
Menurut beliau, pihaknya merakam keterangan 10 individu yang terdiri daripada dua pegawai, tujuh anggota pangkat rendah serta seorang awam
Beliau berkata, siasatan polis turut mendapati mangsa dipercayai lari daripada tugas selama 218 hari.
Katanya, selepas anggota tersebut tamat latihan asas ketenteraan, arwah mengikuti latihan asas komando pasukan Grup Gerak Khas (GGK) ATM.
“Latihan GGK lasak dan mungkin ada faktor-faktor ketahanan mental semasa menjalani latihan lasak dialami arwah menyebabkan tragedi ini berlaku,” kata beliau- UTUSAN.