Bantu penganggur: Manfaat PEP lebih banding BPN - Utusan Malaysia

Bantu penganggur: Manfaat PEP lebih banding BPN

Sebanyak 835,000 atau 11.3 peratus isi rumah di negara ini berisiko jatuh ke paras kemiskinan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang melaksanakan Program Pekerjaan Awam (PEP) bagi mengatasi masalah pengangguran yang semakin serius.

Penganalisis Ekonomi DM-Analytic Sdn. Bhd., Zouhair Rosli berkata, PEP lebih bermanfaat dan menjimatkan berbanding bantuan-bantuan yang diberikan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 730,000 orang yang sedang mencari pekerjaan, merangkumi 230,000 graduan dan 500,000 bukan graduan.

“Jumlah kos sebanyak RM5.5 bilion, separuh daripada perbelanjaan untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Ini adalah lebih bermanfaat pada ketika ini daripada membelanjakan RM10 bilion hanya untuk BPN yang hanya diberikan untuk dua bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut perincian Zouhair, PEP mampu memberi pekerjaan sementara kepada mereka yang menganggur, terutama belia.

“Inisiatif ini akan dijayakan sepenuhnya oleh kerajaan, bukan kerajaan mengharapkan atau menggalakkan syarikat swasta untuk menjayakannya,” katanya.

Menurut beliau, jenis pekerjaan yang boleh ditawarkan kerajaan adalah di sektor yang lebih banyak bergantung kepada tenaga buruh seperti kerja-kerja penyelenggaraan termasuk aktiviti pengurusan pembuangan dan membaiki sekolah daif; kerja penjagaan alam sekitar serta kerja-kerja pejabat.

“Pekerjaan-pekerjaan ini boleh diwujudkan bukan sahaja dalam sektor kerajaan tetapi di syarikat milik kerajaan lain yang berkaitan.

“Tempoh pekerjaan pula perlu fleksibel, contohnya kontrak selama tiga ke sembilan bulan dan kerajaan akan membayar gaji sebanyak RM1,800 sebulan sepanjang tempoh tersebut.

“Jumlah gaji ini adalah lebih berperikemanusiaan daripada RM600 di bawah Pakej Insentif Pengambilan Pekerja yang diumumkan di bawah pakej Penjana,” katanya.

Kata beliau lagi, usaha kerajaan untuk memperkasa sektor ekonomi gig dialu-alukan namun keutamaan perlu diberikan kepada menyediakan perlindungan pekerjaan bagi mereka yang terlibat, memandangkan hanya satu pertiga daripada mereka yang bekerja sendiri masih tiada perlindungan pekerjaan.

“Selain dari itu, insuran pekerjaan juga harus disediakan kepada mereka yang bekerja sendiri jika hilang pekerjaan dan tidak dapat berniaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN