PUTRAJAYA: “Arwah tak suka duduk diam, cari wang tambahan buat kerja sambilan. Kalau ada duit lebih, dia beri kepada saya,” kata Rohayu Yahaya, 43, ibu kepada seorang pekerja restoran yang maut dalam kemalangan kelmarin.
Dalam kejadian pukul 7.15 malam itu, Mohd. Fazli Ayub, 24, yang juga pekerja McDonald’s Shaftbury Putrajaya meninggal dunia selepas dipercayai merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian di Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Mangsa dikatakan gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya sebelum merempuh lori yang dipandu perlahan berikutan sedang melakukan kerja-kerja pembersihan sampah di bahu jalan.
Rohayu berkata, kali terakhir dia berjumpa anak sulung daripada empat beradik itu sekitar pukul 11 pagi selepas arwah pulang ke rumah untuk makan tengah hari.
“Semalam (kelmarin) dia bercuti dan setiap kali cuti, dia membuat kerja sambilan menghantar barangan untuk mencari pendapatan sampingan.
“Dia pulang ke rumah untuk makan dan itulah kali terakhir saya berjumpa dengannya sebelum arwah keluar semula menyelesaikan tugas menghantar barangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pekarangan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.
Suri rumah tersebut berkata, setiap hari termasuk waktu bekerja, Mohd. Fazli lebih suka makan di rumah berbanding di luar.
“Dia pulang ke rumah pada waktu rehat untuk makan sebelum keluar semula ke tempat kerja. Masakan yang paling digemarinya ialah ayam masak merah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu lori yang memberhentikan kenderaan di selekoh jalan tanpa meletakkan sebarang isyarat yang munasabah sehingga menyebabkan halangan kepada mangsa tersebut.
“Pemandu lori itu dalam perjalanan dari Presint 16 ke Presint 10 bagi mengutip sampah. Ketika kejadian, pemandu lori itu memberhentikan kenderaan di selekoh jalan manakala dua kelindan lori sedang mengutip sampah di sebelah kiri jalan sebelum motosikal tersebut datang dalam keadaan mengejut,” katanya.
Mohd. Fadzil berkata, pihaknya mengambil sampel darah dan air kencing mangsa untuk menjalani ujian makmal di jabatan kimia bagi pemeriksaan kandungan alkohol serta dadah.
Tambah beliau, kedua-dua kenderaan tersebut ditahan bagi tujuan pemeriksaan kimia dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000. – UTUSAN ONLINE