KOTA TINGGI: Seekor anak gajah ditemukan mati selepas dilanggar sebuah kereta di Batu 10 Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini hari ini.
Pengarah Perhilitan negeri, Salman Saaban berkata, gajah berkenaan dianggarkan berusia satu hingga dua tahun dengan anggaran berat 300 kilogram.
Katanya, pihaknya menerima aduan berkenaan kejadian itu pada pukul 7.45 pagi ini.
“Sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat bangkai seekor anak gajah jantan di tepi jalan.
“Siasatan mendapati, sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang lelaki dari arah Kota Tinggi menuju ke Mersing melanggar gajah tersebut.
“Pemantauan di tempat kejadian juga mendapati terdapat dua hingga tiga ekor gajah masih berada di sekitar kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Salman berkata, bangkai gajah itu ditanam selepas ukiran morfologinya direkodkan.
Katanya, kawasan kejadian adalah lokasi ‘hotspot’ lintasan gajah iaitu di Batu 4 hingga Batu 14 Jalan Kota Tinggi-Mersing.
“Pernah berlaku kejadian seekor gajah mati dilanggar pada 6 Oktober 2019 di Batu 13 dan seekor lagi pada 21 Mei 2018 di Batu 14,” katanya. – UTUSAN ONLINE