Aktiviti amal kutip pelitup muka terbuang - Utusan Malaysia

Aktiviti amal kutip pelitup muka terbuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Empat ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Geng Stadium Keladi (GSK) mengadakan aktiviti sukarela mengutip pelitup muka yang dibuang orang ramai termasuk di tempat awam di bandar ini semalam.

Ketua GSK, Mohamad Farid Yusoff, 31, berkata, aktiviti itu adalah sebahagian daripada program kemasyarakatan yang dijalankan NGO berkenaan bagi memastikan bandar ini bersih daripada pelitup muka yang boleh menyebabkan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, orang ramai didapati mengambil sikap sambil lewa dalam soal kebersihan dan keselamatan untuk melupuskan pelitup muka apabila dibuang merata-rata.

“Aktiviti tersebut diadakan pada pukul 9 hingga 11 malam melibatkan kawasan di perhentian bas, taman tasik dan jalan utama di Taman Selasih.

“Kami menjalankan kerja-kerja amal itu pada waktu malam kerana suasana sejuk dan jumlah kenderaan tidak banyak,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Farid berkata, lebih 300 keping pelitup muka dikutip dalam aktiviti itu.

“GSK akan meneruskan aktiviti itu dari semasa ke semasa bagi membersihkan bandar ini daripada dicemari pelitup muka,” katanya.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan membuang pelitup muka dengan cara yang selamat iaitu melipat dan memasukkannya ke dalam beg plastik kecil sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

“Pihak berkuasa juga wajar mengambil tindakan terhadap mereka yang membuang pelitup muka di merata-rata tempat terutamanya di tempat awam,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN