PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan menangguhkan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019 walaupun didesak pelbagai pihak berkaitan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, bagaimanapun penguatkuasaan akta terbabit yang bermula 1 September lalu tidak dibuat secara terburu-buru, sebaliknya memberi kesedaran dan mendidik dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19.
Beliau menegaskan, mana-mana pihak tidak seharusnya mempolitikkan akta berkenaan demi kepentingan masing-masing dan kerajaan sedia memperhalusi kaedah pelaksanaan terbaik.
“Kita faham pihak kesatuan ada peranan mereka, tapi ini bukan masa untuk membuat sandiwara politik. Kementerian sedia berbincang untuk membantu mana-mana majikan yang terjejas akibat Covid-19.
“Akta ini telah diwartakan pada 18 September 2019 mengikut kehendak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Penguatkuasaan sepatutnya ditetapkan pada 1 Jun lalu lagi, namun kerajaan bersetuju beri tempoh kelonggaran sehingga 31 Ogos untuk dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 September 2020.
“Saya minta semua pihak sedia bekerjasama dalam hal ini untuk cari jalan terbaik. Maka tak perlu ada pihak tertentu nak jadi hero pertikaikan penangguhan akta ini. Saya sanggup membantu majikan untuk pelaksanaannya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Baru-baru ini Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan supaya tidak tunduk dengan ugutan pemberhentian kerja oleh majikan apabila Akta 446 itu dikuatkuasakan.
Ia berikutan alasan yang diberikan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berhubung perkara itu sedangkan ia merupakan satu penafian hak asasi pekerja memperoleh kemudahan perumahan memuaskan.
Majikan menerusi MEF mendakwa tidak diberikan penerangan atau butiran terperinci mengenai undang-undang itu.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, sebanyak 87 perakuan daripada pihak majikan diterima untuk pelaksanaan di bawah akta ini.
Katannya, sepanjang tempoh sejak akta itu diwartakan, hampir 600 syarikat diperiksa menerusi enam operasi penguatkuasaan di seluruh Semenanjung.
“Dalam operasi itu, kita hanya memeriksa syarikat agar mematuhi akta berkenaan. Kita bukan kejam untuk melaksanakan sesuatu undang-undang secara drastik.
“Majikan tak perlu risau dari segi perundangan ini tetapi kami sedia membantu agar mereka dapat mematuhinya kerana kita memahami krisis ekonomi yang sedang dialami majikan ketika pandemik ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE