DUNGUN: Kanak-kanak perempuan yang maut dilanggar kenderaan pacuan empat roda ketika menunggang basikal di Jalan Delima, Kampung Cacar Baru, Paka di sini semalam sering bercerita tentang impiannya untuk ke syurga.
Ibunya, Suzana Ibrahim, 41, berkata, Nur Aira Awatif Mohammad Fadzil, 6, juga sentiasa mengingatkan abangnya, Mohd.Lut Iqbal, 11, tentang syurga dan kewajipan menunaikan solat.
Katanya, dia tidak menyangkaperubahan sikap murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Paka itu adalah petanda anak ketiganya pergi buat selamanya.
“Akhir-akhir ini, Aira selalu kata nak ke syurga, nak masuk syurga. Beberapa hari lalu, dia seolah-olah mahu bermanja dengan meminta disuapkan nasi walaupun sebelum itu sudah makan.
“Mungkin ini antara petanda pemergiannya yang tidak kami sedari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.53 petang itu, Nur Aira Awatif disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Paka akibat kemalangan tersebut.
Suzana berkata, Nur Aira Awatif sempat melambai tangan ke arah bapanya, Mohammad Fadzil Yuso , 43, yang mahu ke tempat kerja selepas pulang makan tengah hari di rumah, walaupun perbuatan itu jarang dilakukannya.
Katanya, sebelum kejadian, Nur Aira Awatif bermain basikal di halaman rumah bersama dua saudara seusianya manakala dia pula masuk ke dalam rumah untuk menidurkan anak bongsu.
“Kejadian berlaku terlalu pantas, selepas saya masuk ke rumah tiba-tiba anak saudara menjerit beritahu Aira dilanggar dan terus berlari mendapatkannya. “Masa itu dia sudah tidak sedar dan darah pun banyak keluar dari kepala. Saya dukung dan riba dia untuk ke klinik,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Fadzil terkilan apabila ada pihak yang menyalahkan keluarganya berhubung kejadian tersebut.
“Ramai orang fikir tempat kejadian adalah di jalan besar dan tempat kenderaan lalu-lalang, sedangkan kawasan itu adalah jalan pintas penduduk, tidak berturap dan menjadi tempat kanak-kanak bermain.
“Ketika kejadian, ada orang dewasa yang sentiasa mengawasi mereka bermain basikal sebab kesemua lapan buah rumah di kawasan sekitar ini merupakan saudara-mara kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE