Agong ucap tahniah usaha Qatar jayakan Piala Dunia - Utusan Malaysia

Agong ucap tahniah usaha Qatar jayakan Piala Dunia

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima persembahan replika kesemua lapan stadium yang telah dibina di Qatar bagi Piala Dunia 2022 daripada Duta Besar Qatar, Fahad Mohammed Kafoud di Istana Negara semalam. - Gambar Istana Negara
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan tahniah kepada kerajaan Qatar kerana kejayaan menguruskan persiapan Piala Dunia 2022.

Seri Paduka menyampai ucapan itu kepada Duta Besar Qatar ke Malaysia, Fahad Mohammed Kafoud yang mengadakan kunjungan hormat ke atas baginda di Istana Negara, semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menerima sembah taklimat Duta Besar Qatar mengenai persiapan negara itu sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022.

Baginda dalam majlis yang sama turut berkenan menerima persembahan replika lapan stadium yang telah dibina di Qatar bagi Piala Dunia 2022.

“Setiap stadium bercirikan konsep kehidupan masyarakat Asia Barat dengan reka bentuk dan seni bina tersendiri. Stadium-stadium tersebut ialah Stadium Antarabangsa Al Khalilfa yang mempunyai 40,000 tempat duduk; Stadium Al Bayt Stadium (60,000); Stadium Al Janoub (40,000); Stadium Al Rayyan (40,000); Stadium Education City (40,000); Stadium Ras Abou Aboud (40,000), Stadium Al Thumama (40,000) dan Stadium Lusail (80,000).

“Sebagai maklum balas, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Qatar atas kejayaan menyelenggara persiapan dalam segala aspek penganjuran Piala Dunia 2022 ketika dunia masih bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19,” katanya.

Qatar merupakan negara Islam dan negara Asia Barat pertama dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia edisi ke-22 yang dijadual berlangsung pada akhir November hingga perte­ngahan Disember 2022.

Ahmad Fadil berkata dalam pertemuan itu, Al-Sultan Abdullah turut menyatakan bahawa baginda mengikuti perkembangan terkini sukan bola sepak dunia khususnya di Asia kerana minat yang mendalam terhadap sukan itu.

Penglibatan aktif Seri Paduka dalam sukan bola sepak di peringkat domestik dan rantau antarabangsa terserlah menerusi pengalaman baginda menerajui beberapa persatuan sukan di dalam dan di luar negara.

Antara jawatan yang pernah disandang ialah Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Al-Sultan Abdullah juga mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih antara tiga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia untuk penggal 2015-2019.

Susulan daripada pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada awal tahun lepas, Al-Sultan Abdullah melepaskan jawatan-jawatan tersebut selaras dengan Perkara 34(2), 32(3) dan 32(4) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN