KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memulakan siasatan berhubung aduan pengurangan kelajuan muat naik pakej Unifi 500Mbps yang dilancarkan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM).
Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, jika siasatan mendapati terdapat unsur yang melanggar kepentingan pengguna,suruhanjaya itu tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pemberi perkhidmatan
“Pengadu mengesan pakej tersebut telah berubah sejak 2 September lepas dengan kelajuan muat naik dikurangkan separuh kepada hanya 100Mbps,” katanya.
TM menawarkan kelajuan muat naik 200Mbps bersama pakej Unifi yang menyediakan kelajuan muat turun 500Mbps yang dilancarkan bulan lalu dan dikatakan ia telah dikurangkan.
Menurut kenyataan itu, aduan berkenaan turut dilaporkan beberapa portal berita dalam talian yang menganggap pengguna terpedaya dengan tawaran dibuat dalam pakej awal yang diiklankan bulan lalu.
“Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang dikuatkuasakan oleh SKMM memberi perhatian berat terhadap kepentingan pengguna perkhidmatan telekomunikasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE