KLANG: Tindakan 71 pengunjung sebuah kafe di Bandar Baru Klang di sini yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengundang padah apabila kesemua mereka dikenakan kompaun RM1,000.
Dalam serbuan pukul 11.30 malam, pemilik yang mengubah suai pusat hiburan menjadi kafe turut dikenakan kompaun.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, serbuan dilakukan anggota polis yang membuat operasi pemantauan di beberapa pusat hiburan di kawasan terbabit.
“Tindakan kompaun dikenakan ke atas seorang pemilik serta 71 pengunjung premis itu kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Semua pengunjung tidak mengamalkan penjarakan fizikal seperti diperintahkan kerajaan.” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, kata Nurulhuda, pusat hiburan itu dipercayai baru beroperasi beberapa hari lalu menggunakan lesen kafe.
“Kita akan sentiasa melakukan pemantauan dan operasi berterusan terutama di setiap premis yang menjalankan perniagaan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik perniagaan terutama restoran dan bar yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP),” tegasnya. – UTUSAN