BALING: Seramai 48 remaja berusia 13 tahun hingga 20 tahun bersama 34 buah motosikal ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Kampung Teluk Teduri dan Kampung Tok Sonan, Mukim Pulai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata, remaja itu ditahan ketika berkumpul di Jalan Kampung Tok Sonan, Pulai kira-kira pukul 6.20 petang.
Hasil pemeriksaan, katanya, salah sebuah motosikal itu disyaki dicuri yang dilaporkan hilang di Kupang di sini sebelum ini.
“Kesemua remaja bersama motosikal yang ditahan itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Baling untuk pemeriksaan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Operasi tersebut bermula dari pukul 4 petang hingga 8 malam.
Syed Basri berkata, polis juga menahan seorang penunggang motosikal kerana melakukan aksi ‘willie’ di Simpang Tiga Kampung Teluk Teduri menghala ke rumahnya di Kampung Teluk Teduri Pulai pada pukul 6.50 petang.
“Anggota polis yang menyertai operasi itu mengekori remaja tersebut dan menahannya di hadapan rumahnya di Kampung Teluk Teduri,” katanya.
Beliau memberitahu, polis mengeluarkan sebanyak 65 saman atas pelbagai kesalahan trafik dan kesemua motosikal itu juga disita.
Tambahnya, seramai 24 orang daripada remaja itu dikenakan kompaun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana tidak memakai pelitup muka semasa berkumpul di tempat awam.
“Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE