KUALA LUMPUR: Kira-kira 46 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kenyataan Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu sebagai sandiwara.
Kesemua laporan diterima PDRM sejak kelmarin sehingga semalam.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suslan laporan tersebut, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Bukit Aman telah membuka kertas siasatan.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, Mohamaddin dan beberapa individu lain akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.
Terdahulu, calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Mohamaddin antara lain dilaporkan mendakwa tragedi di Kampung Tanduo hanya peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’ dalam satu video berdurasi dua minit 30 saat yang tular di media sosial.
Ucapan beliau mendapat perhatian daripada pemimpin pihak parti lawan.
Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya tampil memohon maaf kepada anggota keselamatan berhubung video mempersenda mereka yang tersebar.
Dalam perkembangan berasingan, ditanya mengenai kertas siasatan berhubung kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar arahan kuarantin wajib bulan lalu, Mior Faridalathrash memberitahu, tindakan lanjut bergantung kepada keputusan Pejabat Peguam Negara (DPP).
“Tiada lagi keputusan diterima daripada DPP untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN