32 peratus kawasan gangguan air pulih - Utusan Malaysia

32 peratus kawasan gangguan air pulih

PENDUDUK sekitar kawasan Keramat beratur untuk mendapatkan air bersih bagi kegunaan harian daripada pili awam yang disediakan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air selepas empat Logi Rawatan Air (LRA) di Selangor terpaksa dihentikan operasi di Keramat AU3 di sini, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kawasan Kuala Langat dan Kuala Lumpur yang mengalami gangguan bekalan air akibat pencemaran bau belum pulih sepenuhnya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, setakat ini, 32.28 peratus atau 417 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air telah pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya, sebanyak 875 kawasan lain masih dalam proses pemulihan sehingga pukul 6.30 pagi tadi.

“Jumlah yang dilaporkan pulih meliputi keseluruhan 1,292 kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Peratusan pemulihan mengikut wilayah adalah Hulu Selangor 94.12 peratus, Kuala Selangor (91.7 peratus), Petaling (37.17 peratus), Gombak (11.31 peratus) dan Klang/Shah Alam (11.31 peratus). Namun, Kuala Langat dan Kuala Lumpur masih berada di tahap kosong peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Elina, usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepat proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas.

“Kami memohon kerjasama pelanggan yang telah menerima bekalan supaya menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan.

“Air Selangor turut menyediakan pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi tujuan mendapatkan bekalan air bersih.

“Kami akan terus memaklumkan status terkini kepada para pengguna menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN