PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 253 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) termasuk dua kes menceroboh pusat kuarantin.
Daripada jumlah itu, seramai 219 individu dikompaun manakala 32 individu direman dan dua individu dijamin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain ceroboh pusat kuarantin, antara kesalahan lain termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam sebanyak 116 kes, gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk sebanyak 23 kes dan tidak memakai pelitup muka, 26 kes.
Menurut beliau, premis beroperasi lebih masa (2 kes), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai menyukarkan penjarakan sosial (70 kes), gagal lunaskan bayaran pusat kuarantin (satu kes) serta terlibat dalam aktiviti perjudian sebanyak 13 kes.
“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM membuat 64,929 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP.
“Sebanyak 5,170 pasukan pematuhan yang melibatkan 17,765 anggota telah membuat pemantauan antaranya di 3,579 pasar raya, 4,805 restoran serta 1,182 penjaja, 1,052 kilang,
3,631 bank dan 649 pejabat kerajaan,” katanya pada sidang akhbar harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di sini semalam. – UTUSAN ONLINE