2 beradik bahagia `berumah' di stesen bas Komtar - Utusan Malaysia

2 beradik bahagia `berumah’ di stesen bas Komtar

Mohd. Faisal (kiri sekali) dan Nurul Atiqah (dua kiri) bahagia jadikan stesen bas di Komtar sebagai rumah mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pasangan adik beradik tiri memilih kerusi batu di stesen bas bawah Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sebagai tempat berteduh dan bermalam selepas penat bekerja pada siang hari.

Nurul Atiqah Azmi, 30, dan abang tirinya, Mohd. Faisal Hassan, 38, masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan berhampiran sanggup tidur dengan beralaskan kotak tanpa pelapik kepala atau bantal sejak tujuh tahun lalu.

Dia berasal dari Jitra, Kedah mendakwa, lokasi berkenaan menjadi pilihan setelah merasakan diri lebih selamat selain mempunyai ramai kenalan senasib.

“Saya lebih selesa tinggal sebegini. Memang malu, tetapi saya terpaksa kerana kos sewa bilik di sini mahal iaitu RM400 sebulan. Mana saya mampu bayar sedangkan gaji harian hanya RM20.

“Saya buat keputusan keluar rumah kerana keluarga langsung tidak pernah ambil tahu tentang diri saya. Bukan merajuk, tetapi saya merasakan lebih selesa tinggal dalam keadaan sebegini.

“Saya juga bimbang akan keselamatan diri tetapi mujur abang tiri saya berada bersama di sini. Saya akan keluar bekerja di sebuah kedai makan di pusat beli-belah berhampiran pada waktu siang dan tidur di sini waktu malam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu berkata, dia akan membersihkan diri di tandas berdekatan manakala beg pakaiannya ditumpangkan sementara di sebuah premis di situ.

Sementara itu, Mohd. Faisal pula mendakwa, dia ke negeri ini untuk mencari pekerjaan namun segalanya berubah selepas berdepan kehilangan dompet dan telefon bimbit ketika bermalam di lokasi sama tujuh tahun lalu.

Ceritanya yang berasal dari Batu Gajah, Perak itu, dia hilang arah dan terpaksa mengambil keputusan tinggal secara pindah-randah di lokasi Komtar sebelum menemui adik tirinya.

“Saya tidak sangka akan jadi begini kerana niat ke sini untuk cari kerja. Saya kini mendapat upah cuci pinggan di kedai makan berhampiran selain diberi makanan percuma, pakaian serta duit oleh orang ramai.

“Saya punyai hasrat untuk mengubah nasib dengan menikmati kehidupan baharu seperti orang lain,” katanya yang menghidap asma sejak usia 29 tahun.

Dakwanya lagi, gelandangan di Komtar mewah dengan sumbangan makanan seperti nasi, roti dan burger selain menerima pakaian terpakai yang dihantar hampir setiap hari.

Berbeza pula dengan bekas gelandangan, Muhamad Asla Abdullah, 40, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Katanya, pengalaman enam tahun sebagai gelandangan mengajarnya erti kehidupan sebenar kerana menyimpan banyak kenangan manis dan duka.

“Saya pernah mengutip tin minuman untuk dijual, tidur di astaka Padang Kota, menyorok dan berlari ketika melihat kehadiran pihak berkuasa. Ini antara kenangan paling tidak dilupakan.

“Saya juga pernah beratur dan berebut-rebut mendapatkan makanan percuma setiap hari. Malah, saya juga masih ada rakan-rakan gelandangan di Komtar dan beberapa lokasi lain,” katanya.

Tambahnya, nasib gelandangan boleh diubah sekiranya seseorang berusaha mencapai apa yang dihajati. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya