ALOR GAJAH: Seorang pemandu dan kelindannya maut manakala dua lagi parah dalam nahas melibatkan tiga buah lori di Kilometer 221.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran Rembau, Negeri Sembilan pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kejadian berlaku pada pukul 6.05 pagi ketika semua kenderaan berat itu dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.
Katanya, mangsa yang maut ialah pemandu lori, Lai Wan Peng, 52, dan kelindan lori membawa muatan barangan plastik jenis Nissan itu, Muhammad Dehya’ Al Qalbi Sharuddin, 27.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada sebuah lori yang membawa muatan serbuk soya rosak dan terhenti antara lorong kiri dan lorong kecemasan.
“Pada masa sama, sebuah lagi lori membawa muatan papan yang bergerak di lorong kiri merempuh belakang lori serbuk soya diikuti sebuah lagi lori lain dipandu dua mangsa yang maut merempuh belakang lori muatan papan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Hasan, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit manakala kelindan lori muatan papan yang patah kaki dan pemandunya yang cedera di kepala di bawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.
“Ketika kejadian cuaca baik dan jalan mendaki bukit. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Soon We Kiang berkata, tiga buah jentera daripada Balai Bomba Penyelamat Alor Gajah dan Rembau ditugaskan ke lokasi dengan kekuatan 12 anggota diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Mat Rais sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.
“Dua mangsa lelaki yang meninggal dunia adalah pemandu dan kelindan lori 10 tan metrik akibat tersepit di ruang pemandu dan memerlukan kren untuk mengalihkan lori berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE