19,010 kertas undi pos dikeluarkan SPR - Utusan Malaysia

19,010 kertas undi pos dikeluarkan SPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 19,010 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di kesemua 73 kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Setiausahanya, Ikmalrudin Ishak berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 17,257 kategori Borang 1A dikeluarkan bagi petugas pilihan raya, 81 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara, 78 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan 1,594 kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan).

Katanya, proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

“SPR juga telah menjemput pemerhati-pemerhati yang dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos tersebut.

“Proses pengeluaran kertas undi pos bagi PRN Sabah ini disiarkan secara live streaming di Facebook SPR bagi tujuan meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi serta mengisi dengan lengkap serta betul borang pengisytiharan identiti (Borang 2) yang disertakan.

Katanya, kertas undi dan borang tersebut perlu segera dikembalikan semula kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi, 26 September ini.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya dalam laman media sosial,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya