KUALA LUMPUR: Sejumlah 3,400 golongan berpendapatan rendah (B40) di beberapa negeri seluruh negara bakal menerima manfaat menerusi Sentuhan Harapan – Program MEKAR anjuran Yayasan Petronas.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman berkata, inisiatif itu dilancarkan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang yang berperanan untuk mengatasi isu kemiskinan dalam kalangan golongan B40 dengan menyediakan keperluan asas seperti air, elektrik dan makanan.
Ia antara lain menyediakan latihan kemahiran untuk meningkatkan taraf hidup dan aliran pendapatan masyarakat B40.
Lapan negeri itu yang bakal menerima manfaat tersebut antaranya Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
“Kami ingin mewujudkan masyarakat yang adil sekali gus merapatkan jurang pendapatan memandangkan Malaysia kini bergerak maju menjadi negara berpendapatan tinggi.
“Semua rakyat di negara ini harus mendapat kualiti hidup yang lebih baik, jadi usaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan pengangguran memerlukan komitmen dalam jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Yayasan Petronas bekerjasama dengan Wilayah Koridor Utara (NCER) untuk melaksanakan program EmpowerNCER bagi memperkasa tahap sosioekonomi serta taraf hidup rakyat.
Hingga kini, program itu memberi manfaat kepada beberapa negeri terpilih dengan mencatatkan peningkatan pendapatan yang ketara.
“Kami juga berhasrat untuk memastikan kehidupan dan kesejahteraan yang sihat, serta mempromosikan pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan yang inklusif dan lestari bagi rakyat Malaysia sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari,” katanya lagi. – UTUSAN