KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang menetap di Singapura dan mahu memasuki Malaysia bagi tempoh singkat untuk urusan rasmi atau perniagaan boleh membuat permohonan menerusi Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, RGL juga terpakai untuk warga Singapura yang mahu memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan dalam tempoh singkat.
Ujarnya, bagi warga Singapura dan penduduk tetap di negara berkenaan yang mempunyai Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLSJP) dan mahu memasuki Malaysia untuk bekerja atau urusan perniagaan, perlu membuat permohonan menerusi Periodical Commuting Arrangement (PCA).
“Untuk menggunakan kemudahan RGL dan PCA ini, semua pelawat asing perlu memohon melalui sistem MyTravelPass (MPT) di http://www.mtp.imi.gov.my bermula 10 Ogos ini.
“Selain itu, semua pelawat asing perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengaktifkannya dalam telefon pintar masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Khairul Dzaimee, warganegara asing yang menggunakan kemudahan RGL, penaja mereka di negara ini perlu membuat permohonan bagi pihak individu itu melalui sistem MPT.
“Bagi pelawat asing yang menggunakan kemudahan PCA pula, majikan mereka di negara ini perlu membuat permohonan melalui sistem MPT.
“Orang ramai boleh melayari laman web www.imi.gov.my atau https://safetravel.ica.gov.sg untuk mendapatkan panduan lengkap tatacara permohonan dan keperluan dokumen bagi kemudahan RGL dan PCA,” jelasnya.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee turut menasihatkan semua pelawat asing dan warganegara Malaysia supaya sentiasa mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman terkini daripada agensi berkaitan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.
“Tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan ke atas mereka yang ingkar dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN ONLINE