IPOH: Seorang wanita warga emas maut setelah kereta yang dinaikinya dipercayai terbabas dan jatuh ke dalam Sungai Pari di Jalan Salidin di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, anak perempuan mangsa terselamat apabila berjaya keluar dari kereta.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Pegawai Bomba Kanan II, Khairuddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.26 pagi daripada orang awam.
Menurutnya, kejadian melibatkan kereta jenis Proton Iswara yang terbabas dan jatuh ke dalam Sungai Pari.
“Kemalangan menyebabkan seorang wanita berusia 60 tahun terperangkap manakala anak perempuannya berusia 30 tahun berjaya keluar dari kereta.
“Mangsa yang terperangkap dibawa naik ke tebing sungai dan diberikan bantuan pernafasan oleh anggota paramedik dari Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) sebelum disahkan telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.30 pagi.