IPOH: Wanita memakai gelang pengesanan kuarantin koronavirus (Covid-19) makan di restoran yang tular dalam media sosial baru-baru ini dijatuhi hukuman dipenjara sehari dan denda RM8,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Nur Emah Mohamad Hashim, 72, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nabihah Mohd. Noor.
Mengikut pertuduhan, tertuduh tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang diarahkan Pegawai Diberi Kuasa Syarifudin Abu Bakar pada 4 Julai lalu, pukul 5.30 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Kumpur (KLIA), Sepang.
Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 7 Jun lepas, pukul 8 pagi di Hanaz Cafe, No. 3, Lengkok Meru Permai 1, Halaman Meru Permai Ipoh.
Wanita berkenaan dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 (b), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh merayu hukuman terhadapnya dikurangkan kerana baru sahaja kematian suami.
Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Ahmad Fakurazi Abu Bakar meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Nabihah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 dan penjara enam bulan jika gagal membayar denda. – UTUSAN ONLINE