Usah campur isu sekolah vernakular dengan perpaduan - Utusan Malaysia

Usah campur isu sekolah vernakular dengan perpaduan

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana parti politik tidak perlu menjadikan isu sekolah vernakular sebagai satu keutamaan untuk diperbahaskan pada waktu ini.

Hal ini kerana isu sekolah tidak boleh dicampur dengan isu perpaduan rakyat.

Bekas pemimpin PKR yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara yang paling menjadi keutamaan pada waktu ini adalah kualiti pendidikan negara.

Katanya yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, walaupun terdapat perbahasan hangat mengenai perkara itu (sekolah vernakular), namun, ia perlu dilihat secara gambaran yang lebih luas.

“Kita perlu melihat hal itu dari satu sudut positif. Sekolah vernakular sudah wujud lama dalam sistem pendidikan di negara ini dan ia memainkan peranan unik serta tersendiri.

“Saya amat yakin bahawa kerajaan sekarang tidak akan mengganggu sekolah vernakular ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad kelmarin yang menggesa sekolah vernakular dimansuhkan secara berperingkat.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, usaha berkenaan perlu menjadi keutamaan agenda nasional dan bukannya digunakan sebagai bahan politik untuk sekadar meraih undi.

Namun, baru-baru ini juga, Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular.

Kenyataan Halimah itu mendapat reaksi negatif terutama daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang mendukung hanya sekolah satu aliran sahaja diwujudkan di negara ini.

Saifuddin menambah, sekarang, jumlah pelajar bukan Cina juga menunjukkan peningkatan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Katanya, terdapat SJKC yang mempunyai bilangan pelajar Melayu lebih ramai berbanding pelajar Cina.

“Sewaktu saya menjadi Ahli Parlimen Temerloh dan membuat lawatan ke SJKC Lanchang, saya dapati pelajar Melayu di situ adalah lebih ramai daripada pelajar bukan Cina.

“Lanchang adalah merupakan sebuah bandar Melayu. SJKC di situ tidak boleh ditutup kerana ia sudah lama berada di situ,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya