Tumpu baiki 46 hospital uzur - Utusan Malaysia

Tumpu baiki 46 hospital uzur

Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar. UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Kesihatan memberi tumpuan terhadap 46 buah hospital berusia lebih 50 tahun yang dikenal pasti sebagai uzur untuk pembaikan pendawaian. 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pembaikan itu bagi memastikan setiap hospital dapat memberikan khidmat rawatan dengan baik tanpa gangguan terutamanya melibatkan sistem bekalan elektrik.  

ADHAM BABA

Jelasnya, projek itu juga telah mendapat persetujuan kerajaan menerusi Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan akan dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

“Terdapat 46 buah hospital yang telah berusia 50 tahun dan perlu disemak semula sistem elektrikal termasuk perangkap kilat. 

“Pembaikan ini sangat penting kerana  terdapat rawatan yang bergantung kepada sumber elektrik termasuk penggunaan alat bantuan ventilator,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 2 (Delima) dan Kuarters Batu Berendam, di sini hari ini. 

Mengulas lanjut pendedahan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengenai tiga hospital di negeri itu tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) termasuk Hospital Sultanah Aminah, Adham menjelaskan ia melibatkan pembinaan pada zaman terdahulu.

“Memang betul, perkara ini sememangnya dalam perhatian kementerian dan kerajaan telah memperuntukkan RM114 juta bagi kerja-kerja menaik taraf komponen elektrik serta mekanikal di hospital berkenaan yang akan dilakukan tahun ini,” katanya. 

Terdahulu, klinik kesihatan Jenis 2 (Delima) itu adalah yang pertama dibina dengan menggunakan reka bentuk piawai yang diperkenalkan pada 2014. 

Pusat rawatan itu menelan kos pembinaan sebanyak RM22.2 juta di atas tanah berkeluasan 2.02 hektar dan dijangka boleh memberikan rawatan kepada 500 hingga 800 pesakit secara purata dalam sehari. 

Perkhidmatan ditawarkan termasuklah rawatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, pergigian, rawatan kecemasan, farmasi, pengimejan, makmal dan terapi pekerjaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya