Tular maklumat palsu: Peniaga, pasar raya tampil perjelas isu sebenar - Utusan Malaysia

Tular maklumat palsu: Peniaga, pasar raya tampil perjelas isu sebenar

ANG Hung Kook (kiri) dan Nor Haseena Sehud Daaud menunjukkan salinan kenyataan palsu yang tular mengenai pasar raya Billion Seberang Jaya sebelum ini dalam satu sidang akhbar di Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam. - FOTO/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Seorang peniaga memohon maaf secara terbuka dan tampil memperjelaskan isu sebenar selepas didakwa menularkan maklumat tidak benar mengenai sebuah pasar raya Billion di Seberang Jaya, di sini, pada 9 Ogos yang lalu.

Nor Haseena Sehud Daaud, 33, yang mengaku tidak menyelidiki terlebih dahulu kesahihan berita yang diterimanya sebelum memuat naik ke dalam laman Facebook miliknya itu bagaimanapun mendakwa, dia telah memadam status tersebut pada hari yang sama dan menggantikannya dengan status baharu selepas menyedari telah membuat satu kesilapan.

Namun, status baharu wanita itu agak terlewat kerana hantaran awalnya telah ditularkan sebagai berita palsu hingga menimbulkan kemarahan pihak pengurusan Billion serta para netizen ketika itu.

“Tujuan dan niat asal saya bukan menjatuhkan perniagaan mereka (Billion), tetapi sebagai penduduk setempat, saya rasa bertanggungjawab untuk berkongsi berita semasa mengenai Covid-19.

“Atas salah faham ini, saya hadir sendiri untuk memohon maaf secara terbuka terhadap Billion serta penduduk setempat yang terkejut dengan berita penutupan pasar raya ini (untuk kerja-kerja sanitasi) selain berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, pihak pengurusan Billion membuat kenyataan balas bagi menafikan berita palsu yang tular itu sebelum membuat laporan polis untuk membersihkan nama mereka.

Dalam pada itu, Pengurus Jualan Pusat Beli-Belah Billion (Seberang Jaya) Sdn. Bhd., Ang Hung Kook yang turut serta dalam sidang media itu mendakwa, perniagaan mereka terjejas sehingga 30 peratus sejak berita palsu itu tular hingga semalam.

“Dengan adanya penjelasan ini (menerusi sidang akhbar), kami berharap agar orang ramai tidak lagi bimbang untuk ke sini dan perniagaan kami juga akan kembali seperti sedia kala,” ujarnya.

Tambah Hung Kook, pihaknya juga bersedia untuk menarik semula laporan polis yang telah dibuat sebelum ini sekiranya pihak atasan mereka berpuas hati dengan permohonan maaf yang dibuat dan bersedia untuk bekerjasama pada bila-bila masa bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan secara baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya