KUANTAN: Tiga restoran di daerah ini masing-masing dikompaun RM500 selepas didapati meletakkan kerusi dan meja di jalan raya hingga menghalang laluan awam di situ.
Selain kompaun, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dalam Ops Kaki Lima malam tadi turut menyita kerusi dan meja serta beberapa barangan yang menghalang laluan di tiga restoran itu.
Pegawai Perhubungan Awam MPK, Norkamawati Kamal berkata, kompaun itu di bawah Seksyen 46 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kerana meletakkan kerusi dan meja di atas jalan awam.
“Selain itu, MPK turut memberikan amaran kepada pengusaha restoran terbabit kerana didapati gagal memastikan pelanggan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dari segi penjarakan fizikal,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Norkamawati berkata, MPK tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik premis perniagaan yang ingkar SOP.
“Usaha ini perlu dilakukan bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN