JOHOR BAHRU : Tiga remaja bersenjatakan parang dan bertopengkan ‘joker’ melarikan 10 kotak rokok ketika menyamun sebuah kedai serbaneka di Taman Ungku Tun Aminah di sini hari ini.
Malah mereka yang berusia antara 15 hingga 19 tahun juga sempat mengambil dua kotak Kyo Charcoal Filter.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Fariz Ammar Abdullah berkata, bagaimanapun kegiatan mereka akhirnya tumpas setelah polis menahan mereka dalam tempoh tiga jam selepas kejadian berlaku.
Katanya, kejayaan itu ekoran tindakan pantas polis yang berjaya mengesan kenderaan dinaiki suspek kira-kira lima kilometer (KM) dari lokasi kejadian.
“Susulan itu polis berjaya menahan tiga suspek manakala seorang lagi suspek masih belum dikesan.
“Ekoran tangkapan itu, polis turut merampas dua bilah parang panjang, sebilah pedang samurai, sebilah pisau, dua topeng joker dan nombor plat kenderaan bukan asal kenderaan dinaiki mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, dalam kejadian samun berkenaan, tiada mangsa cedera ketika semua suspek terlibat menyamun kedai berkenaan.
“Hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek negatif penggunaan bahan terlarang,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan tanpa senjata api.