BESUT: Pokok damar hitam siput daun besar atau nama saintifiknya Shorea Kuantanensis yang dilaporkan pupus pada tahun 2010 kini ditemui semula di Taman Eko Rimba Lata Tembakah, Kompartment 47 di Hutan Simpan Pelagat di sini.
Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd. Ridza Awang berkata, penemuan semula tiga batang pokok itu oleh pegawai bertugas, Mohd. Nasir Mohd. dan Salleh Endut memberikan masa depan cerah bagi Shorea Kuantanensis untuk terus wujud di negara ini.
Katanya, Shorea Kuantanensis direkodkan hanya dijumpai di Hutan Simpan Bukit Goh di Kuantan, Pahang pada 1936, iaitu kira-kira 84 tahun lalu.
“Hasil bancian terhadap tiga batang pokok Shorea Kuantanensis di sini mendapati saiz ukuran diameternya antara 28 hingga 75.6 sentimeter dengan salah satunya dianggarkan berusia sekitar 76 tahun.
“Menariknya, tiga pokok induk ini turut mengeluarkan biji benih dan anak pokok baharu sekali gus menunjukkan masa depan cerah untuk Shorea Kuantanensis terus dipelihara di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis penemuan semula Shorea Kuantanensis di Taman Eko Rimba Lata Tembakah di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah Perhutanan negeri, Muhamad Abdullah.
Penemuan semula Shorea Kuantanensis di Taman Eko Rimba Lata Tembakah itu disahkan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menerusi satu artikel yang dikeluarkan pada tahun ini.
Mohd. Ridza berkata, ketika ini sebanyak 2,000 anak benih Shorea Kuantanensis disemai di dua tapak semaian di Kampung Bukit Cina, Pasir Akar di sini dan di Chalok, Setiu.
Katanya, langkah pemeliharaan dan pemuliharaan lain termasuk menerusi program insitu iaitu dengan mewujudkan petak Hutan Yang Mempunyai Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCVF) di Kompartment 47, Hutan Simpan Pelagat.
Di samping itu, beliau turut menyarankan Jabatan Perhutanan Terengganu untuk berbincang dengan Jabatan Perhutanan Pahang bagi penanaman semula Shorea Kuantanensis di Hutan Simpan Bukit Goh.
“Ini antara usaha kita dalam melipat gandakan bilangan spesis pokok ini dan saya percaya Shorea Kuantanensis akan terus kekal.
“Ketika ini kita mempunyai 15 lagi spesis pokok dalam kategori hampir pupus antaranya Shorea, Vatica dan Parashorea,” katanya. – UTUSAN