PUTRAJAYA: Sebanyak tiga lagi kes baharu dilaporkan dalam Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga di Kedah yang membabitkan generasi kedua.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ketiga-tiga kes tersebut dikenal pasti melalui saringan kontak rapat kes positif daripada kluster tersebut.
Katanya, dua daripada kes tersebut merupakan kontak rapat kepada kes ke-9,000 iaitu kedua-duanya merupakan anak kepada kes ke-9021 dan kes ke-9022.
“Seorang daripada anak individu terbabit mengalami gejala saluran pernafasan pada 30 Julai lalu, namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan sementara kes ketiga (kes ke-9023) pula adalah kontak rapat kepada kes ke-8976.
“Individu terbabit mengalami gejala demam serta gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos lalu dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Taman Selasih, Kulim,” katanya dalam laporan harian perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.
Tambah Noor Hisham, kesemua kes baharu itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan selepas dikesan positif pada 4 Julai lalu.
“Sehingga 5 Ogos pukul 12 tengah hari, hari ini, seramai 1,647 orang telah disaring dalam kluster ini dan daripada jumlah itu sebanyak 24 kes dikesan positif, 754 negatif dan 869 masih menunggu keputusan,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Noor Hisham menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan mesej palsu berhubung maklumat terperinci kawasan yang dilawati oleh individu itu.
Sementara itu, sebanyak 21 kes baharu Covid-19 dilaporkan keseluruhan hari ini, termasuk 15 kes import sekali gus menjadikan bilangan kes positif Covid-19 di negara ini kini mencecah 9,023, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula 196 kes.
“Semua kes import melibatkan warga tempatan yang telah mendapat jangkitan dari luar negara seperti Yaman dengan 12 kes sementara Papua New Guinea, Ivory Coast dan United Kingdom dengan masing-masing satu kes.
“Semua kes import ini adalah di Kuala Lumpur dan mereka telah diasingkan di pusat kuarantin selepas ketibaan di Pintu Masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), justeru, tidak membawa risiko jangkitan kepada masyarakat setempat,” jelasnya.
Katanya lagi, implimentasi kawalan sempadan antarabangsa yang ketat penting bagi mengelakkan berlakunya penularan dalam negara bagi jangkitan Covid-19 yang berpunca dari luar negara. – UTUSAN