Tiga beranak maut, seorang cedera parah kemalangan di Kuala Selangor - Utusan Malaysia

Tiga beranak maut, seorang cedera parah kemalangan di Kuala Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tiga beranak maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Pasir Tuntung berhampiran sebuah stesen minyak di Jeram, di sini malam tadi.

Kemalangan kira-kira pukul 10.30 malam itu meragut nyawa Amni Koslillah yang berusia dalam lingkungan 50-an dan dua anaknya, Nor Kalisa Ali Yunus, 24, serta Nor Syafiqah, 17.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Ismail Zakariya berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 10.34 malam dan tiba di lokasi 13 minit kemudian.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terlibat iaitu Honda City dan Nissan Frontier telah bertembung. Berdasarkan maklumat awal, ketiga-tiga beranak ini dari Tanjong Karang menghala ke Klang menaiki Honda City.

“Nissan Frontier yang dipandu lelaki berusia 30-an dari arah bertentangan itu pula dikatakan melanggar Honda City dinaiki tiga beranak berkenaan sehingga kedudukan kenderaan berpusing menghala ke arah bertentangan.

“Akibat daripada pelanggaran, tiga beranak tersebut maut di lokasi kejadian manakala pemandu pacuan empat roda tersebut cedera parah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, mayat kesemua wanita itu diserahkan kepada polis manakala mangsa lelaki yang cedera di hantar ke Hospital Tanjong Karang untuk menerima rawatan.

Difahamkan, semasa kejadian kenderaan pacuan empat roda itu yang tidak memasang lampu depannya hendak memasuki simpang di situ. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN