Tiada lagi khazanah alam, keamanan hidup - Utusan Malaysia

Tiada lagi khazanah alam, keamanan hidup

KEGIATAN melombong pasir tidak terkawal yang dibimbangi memusnahkan khazanah alam berdekatan Tanjung Agas, Pekan, Pahang. UTUSANSHAIKH AHMAD RAZIF SHAIKH MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Aktiviti mengorek pasir yang berleluasa di pesisir Sungai Pahang di daerah ini memusnahkan khazanah alam yang sepatutnya dipulihara dan diuruskan dengan cekap bagi memastikan kelangsungan peranan serta sumbangannya kepada kesejahteraan masyarakat.

Seorang penduduk di Kampung Pulau Jawa yang hanya ingin dikenali sebagai Man berkata, dia dan masyarakat di situ sedih kerana khazanah alam yang wujud di Sungai Pahang terutama di kampung
tersebut musnah disebabkan aktiviti mengorek pasir.

“Apa lagi yang kita hendak banggakan selepas ini. Khazanah alam pun sudah musnah. Dulu, kampung ini cukup terkenal dengan remis dan etok, setiap tahun bagaikan pesta (meremis) sehingga orang luar Pahang pun ke sini.

“Tetapi kini khazanah itu telah tiada. Begitu juga ikan tamalian dan ikan tengalan yang cukup popular di Sungai Pahang ini. Akibat kerakusan mengorek pasir, saya percaya khazanah sungai itu sudah tiada lagi di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Pulau Jawa di sini.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan kebimbangan penduduk tentang kerakusan pengusaha lombong pasir mengaut hasil keuntungan yang dikhuatiri menjejaskan kira-kira 16,000 penduduk khususnya golongan nelayan sungai dan pesisir pantai di lapan buah kampung di pesisir Sungai Pahang di Pekan.

Lapan kampung berkenaan ialah Kampung Tanjung Agas, Kampung Pasir Panjang, Kampung Ketapang, Kampung Kuala Pahang, Kampung Marhum, Kampung Siong, Kampung Pulau Tambun dan Kampung Pulau Jawa.

Menceritakan tentang aktiviti mengorek pasir itu, Man berkata, sememangnya penduduk di situ merungut sejak ia mula hendak dilaksanakan.

“Saya masih ingat lagi sewaktu pam pasir mula-mula diletakkan di sini, kami sudah mula risau tentang kemusnahan khazanah alam. Selain hakisan, kami bimbang ekosistem sungai musnah dan ia telah pun berlaku,” katanya.

Selain itu katanya, kehidupan penduduk di situ kini tiada lagi kenikmatan dan keamanan.

“Yang kami dapat hari-hari adalah ‘nikmat telinga’ iaitu bising ekoran aktiviti korek pasir berkenaan. Itulah ‘nikmat’ yang penduduk dapat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN