RUU kurangkan kesan Covid-19: Tiada hukuman bebankan rakyat - Utusan Malaysia

RUU kurangkan kesan Covid-19: Tiada hukuman bebankan rakyat

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada peruntukan berkaitan hukuman atau penalti jika wujud elemen ketidakpatuhan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk tidak mahu dijadikan bebanan, apatah lagi bersifat menghukum kepada mana-mana pihak.

“Kesan Covid-19 dirasai oleh semua pihak. Apabila satu pihak terkesan, bermakna seluruh rantaian ekonomi akan terkesan. Justeru, RUU ini memperuntukkan wadah pengantara kepada pihak yang mempunyai pertikaian untuk selesaikan isu secara baik, tanpa babitkan proses perbicaraan undang-undang di mahkamah.

“Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk memastikan kedua-dua pihak diberikan peluang sama rata bagi menyelesaikan pertikaian secara baik.

“Perjanjian penyelesaian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak hendaklah ditandatangani dan perkara ini dianggap sebagai muktamad dan mengikat kedua-dua pihak,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam masa yang sama, Takiyuddin turut berkata, RUU ini merupakan pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian bagi tempoh yang ditetapkan demi kelangsungan hidup rakyat.

Katanya lagi, penggubalan RUU ini juga adalah berdasarkan model dari beberapa buah negara luar serta selaras dengan pakej rangsangan ekonomi.

“RUU ini turut babitkan kajian dan rujukan terhadap model undang-undang beberapa negara seperti United Kingdom, New Zealand, Australia dan Singapura.

“Hasilnya, RUU ini digubal sebagai suatu undang-undang unik berdasarkan acuan Malaysia dengan mengambil kira situasi semasa dalam negara dan demi menjaga kepentingan pelbagai pihak,” katanya.

Setakat ini, jelas Takiyuddin, lagi sebanyak 53 peraturan dan perintah disediakan atau dipinda bagi menangani kesan akibat Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN