KEPALA BATAS: Seperti rakyat Malaysia lain yang bersemangat patriotik, Khamarudin Salleh, 69, tidak mahu membiarkan ulang tahun kemerdekaan negara tahun ini berlalu tanpa sebarang sambutan.
Mengakui sambutan kali ini agak terhad dan berbeza berikutan penularan pandemik Covid-19, bekas kakitangan Penang Port itu tetap teruja untuk menyambutnya seperti biasa.
Sebelum ini, katanya, boleh dikatakan setiap kali menjelang sambutan Hari Kemerdekaan, dia dan beberapa rakan berkonvoi dengan motosikal sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
“Paling diingati pastinya konvoi ke Pantai Merdeka, Kedah sempena Hari Kemerdekaan sekitar lima atau enam tahun lalu, memang meriah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui semalam.
Bapa kepada tiga anak itu dikenali kerana minatnya yang mendalam terhadap penambahan aksesori serta pengubahsuaian motosikal termasuk ketika sambutan kemerdekaan.
Ada sahaja idea kreatifnya termasuk menggunakan replika, lakaran dan lukisan haiwan seperti harimau, ular, kerbau, katak, singa, tupai dan sebagainya untuk menarik perhatian ramai.
Maka tidak hairanlah sekiranya pencinta haiwan itu sanggup berhabis sehingga berbelas ribu ringgit untuk tujuan itu sejak 15 tahun lalu.
Khamarudin berkata, idea hiasan dan pengubahsuaian motosikal itu banyak dibantu sahabatnya yang berpengalaman dalam kerja-kerja mereka bentuk dan mereka cipta selain hasil kerja sendiri.
“Kebanyakan barang yang kami gunakan adalah barangan terbuang, kitar semula serta antik yang diperoleh dari pelbagai tempat,” katanya.
Mengenai persiapan sempena sambutan kemerdekaan kali ini, katanya, lebih 30 Jalur Gemilang mula dipasang di motosikalnya walaupun tidak ada perancangan untuk berkonvoi.
“Saya juga akan pasang bendera-bendera ini di sekitar rumah termasuk menggantikan bendera lusuh dan sebagai tanda cintakan negara,” katanya yang menganggap apa yang dilakukannya itu sebagai rutin menjelang tanggal 31 Ogos setiap tahun. – UTUSAN