TANJUNG MALIM: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan itu juga merupakan satu indikasi jika semua pihak bersepakat, kemenangan besar dalam PRK Slim mampu diteruskan.
Beliau berkata, jika pertandingan dua penjuru dapat dikekalkan, kemenangan dalam PRN Sabah juga akan memihak kepada calon-calon BN.
“Kemenangan ini lebih bermakna apabila BN menang di semua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) selepas kalah enam daripadanya dalam PRU-14.
“Kerinduan rakyat kepada BN terubat dengan kemenangan di sini dan ini akan diterjemahkan jika berlaku PRU dan dalam PRN di Sabah.
“Kita tidak rasa riak atau takbur untuk meraih sokongan rakyat yang rindukan BN, UMNO dan MN untuk berada di persada kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman rasmi keputusan PRK DUN Slim di Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) di sini semalam.
Menurut Ahmad Zahid, kemenangan itu juga adalah terjemahan kepada kerjasama dengan Pas dan Muafakat Nasional (MN), komponen BN,Friens of BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu(.
“Ini satu petanda yang cukup baik apabila kesepakatan diterjemahkan, segala yang disusun dengan penuh berstruktur dan kebijaksanaan maka kemenangan akan memihak kepada kita,” katanya.
Pada PRK itu, BN mempertahan kerusi DUN Slim dengan majoriti 10,945 undi.
Calon BN, Mohd. Zaidi. Aziz meraih 13,060 undi mengatasi dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S. Santharasekaran, 44, masing-masing memperolehi 2,115 dan 276 undi. – UTUSAN ONLINE