GUA MUSANG: Suatu masa dahulu, kulat sisir atau juga dikenali sebagai cendawan kukur, biasanya dapat dinikmati hanya selepas hujan. Ia akan tumbuh meliar pada batang pokok getah tumbang atau pokok mati.
Namun kini, tumbuhan ini sudah mula ditanam secara komersial di pekarangan rumah dan didapati sepanjang tahun.
Antara yang mengusahakannya adalah tiga beradik yatim piatu di rumah bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kampung Tanah Putih di sini.
Mohamad Syahadam Abdul Talib Mohd. Kasim, 20, bertanggungjawab menjaga dua adik perempuan, Siti Noraini, 15, dan Siti Norasniza, 10, selepas kematian ibu bapa mereka.
Bapa mereka, Ahmad Yaacob, 48, meninggal dunia Jun tahun lalu kerana sakit jantung manakala ibu, Rubiah Zakaria, 38, pada September 2018 kerana menderitai kencing manis.
Mohamad Syahadam berkata, idea mengusahakan kulat sisir muncul ketika bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat bulan lalu.
Katanya, kulat sisir diusahakan dalam 1,300 bongkah yang digantung di belakang rumahnya.
“Saya mengusahakan kulat sisir selepas mengikuti kursus tanaman itu dan percubaan pertama memberi pulangan lumayan.
“Selepas dua minggu, boleh kutip hasil antara 10 hingga 20 kilogram dan kulat sisir basah dijual RM80 sekilogram,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertanian Gua Musang, Azrim Ibrahim berkata, tanaman kulat sisir mempunyai potensi besar kerana hidup sepanjang musim.
Katanya, harga kulat sisir basah dan kering juga mencecah RM80 sehingga RM100 sekilogram ketika ini.
“Saya nampak tanaman kulat sisir ini mampu memberi pulangan kepada anak muda dan ibu tunggal yang hanya boleh diusahakan di pekarangan rumah.
“Saya harap kejayaan Mohd. Syahadam dapat dijadikan contoh terbaik kepada individu yang berminat untuk menambah pendapatan,” katanya.
Kulat sisir mempunyai khasiat dan perubatan yang tinggi sebagai ubat antibarah serta mengandungi sebatian antioksidan yang kuat bagi menyingkir toksik dalam badan. – UTUSANAI