Tamparan hebat Bersatu Johor - Utusan Malaysia

Tamparan hebat Bersatu Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menerima tamparan hebat apabila 1,200 ahli bahagian Johor Bahru mengisytiharkan keluar parti, sekali gus me­nyaksikan jumlah teramai setakat ini.
Pengerusi Gerakan Jom Keluar Bersatu, Yusof Ishak berkata, ia melibatkan akar umbi di kesemua 14 cawangan dalam Bahagian Bersatu Johor Bahru.
Katanya, jumlah itu adalah teramai setakat ini berban­ding minggu lalu apabila 1,000 ahli Bersatu Pagoh diketuai pe­ngasasnya, Abd. Wahab Ibrahim memutuskan keluar parti.
“Kita berjaya mengumpul tandatangan Akuan Berkanun (SD) 1,200 ahli bahagian Johor Bahru yang membuat keputusan meninggalkan parti berkenaan kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan pusat.
“Sebanyak 54 peratus ahli keluar parti memutuskan sertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala selebihnya ingin menyertai UMNO dan ada pula tidak mahu lagi jadi ahli mana-mana parti politik,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, Yusof menjangkakan lebih ramai lagi ahli Bersatu mengikuti jejak mereka dalam masa terdekat, sekali gus ia bakal memberi kesan terhadap sokongan parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Katanya, beliau melihat wujudnya gelombang dalam kalangan ahli yang tidak puas dengan cara kepimpinan Bersatu yang menafikan mandat rakyat.
“Sewaktu pilihan raya lalu, rakyat undi kita sebab PH, tetapi akhirnya pemimpin Bersatu buat keputusan bersama Barisan Nasional (BN).
“Ini menyebabkan kami mengambil keputusan drastik ini untuk keluar parti dan ingin bersama Dr. Mahathir dalam wadah politik yang baharu,” katanya.
Selain Pagoh dan Johor Bahru, ahli-ahli Bersatu di dua bahagian iaitu Simpang Renggam dan Kota Tinggi juga sama mengisytiharkan keluar parti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN