KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo perlu menjelaskan keputusannya menawarkan kontrak bernilai RM29.9 juta kepada syarikat swasta untuk membeli hak siaran kejohanan Piala Dunia 2018 di RTM secara rundingan terus.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Law Hoe Chai berkata, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pernah menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan menerima tajaan penuh berjumlah RM30 juta daripada sektor swasta sebagai bayaran untuk membeli hak siaran kejohanan berprestij itu.
“Jika RM29.9 juta untuk memberi hak siaran Piala Dunia ditanggung kerajaan, ke mana perginya tajaan RM30 juta itu?
“(Ataupun) sebaliknya, jika RM29.9 juta itu adalah sebahagian daripada RM30 juta ditaja syarikat, maka terdapat baki RM100,000 lagi untuk Gobind Singh dan Guan Eng mesti jelaskan kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isu tersebut bangkit rentetan pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan 101 projek yang diluluskan kerajaan terdahulu secara rundingan terus.
Difahamkan, kontrak itu melibatkan syarikat swasta yang dinamakan sebagai Sport Media & Distributor Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik kepada hak penyiaran kejohanan itu di negara ini dengan nilai RM29.9 juta.
Semalam di Dewan Rakyat, media melaporkan berdasarkan hansard bertarikh 1 Ogos 2018, kerajaan sebenarnya menjana keuntungan RM3.3 juta dengan menyiarkan siaran perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di RTM.
Gobind juga dikatakan memberitahu bahawa keuntungan itu adalah hasil iklan dan tajaan untuk siaran tersebut dan kemudiannya dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan. – UTUSAN ONLINE