GEORGETOWN: Seorang lelaki mengerang kesakitan hampir setengah jam setelah kaki kanannya tersepit pada rim motosikal dalam kemalangan di Jalan Bukit Jambul, Bayan Lepas, di sini semalam.
Mangsa berusia 40 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC itu ketika kejadian dikatakan terbabas di bahu jalan kira-kira pukul 8.15 pagi.
Akibat kejadian itu, mangsa terpaksa ditenteramkam oleh ibunya yang turut berada di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’ Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berlaku pada pukul 8.19 pagi dan tiba kurang 15 minit kemudian.
“Ketika tiba di lokasi, mangsa didapati dalam keadaan meniarap di atas jalan sambil mengerang kesakitan akibat kaki kanannya tersepit pada rim motosikal.
“Pasukan kita berjaya mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat khas pada pukul 8.57 pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya lagi, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 9.04 pagi. – UTUSAN