KUALA LANGAT: Perbuatan jenayah seorang lelaki yang melakukan kegiatan memecah kenderaan sejak dua tahun lalu mengundang padah apabila dia ditahan polis Jumaat lalu.
Suspek berusia 28 tahun itu ditahan di hadapan sebuah restoran di Tanjong Sepat, kira-kira pukul 4.30 petang menerusi Ops Cantas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, penahanan itu dilakukan hasil laporan polis dibuat seorang mangsa berusia 31 tahun pada 19 Julai lalu.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa memaklumkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser miliknya telah dipecahkan.
“Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM12,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ujar beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam tiga kes pecah kenderaan di sekitar daerah ini.
“Suspek dipercayai menggunakan taktik memerhatikan kereta di tempat parkir yang agak jauh daripada lokasi tumpuan.
“Selain itu, suspek masuk ke dalam kawasan rumah pada tengah malam untuk memecah cermin kenderaan dan melarikan barangan berharga seperti wang serta radio,” katanya.
Tambah Azizan, suspek yang memiliki tujuh rekod jenayah lampau direman selama empat hari bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.