SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar umat Islam terus bersatu padu dan berhijrah sempena tahun baharu Islam 1442 Hijrah.
Titah Sultan Selangor, penyatuan dan penghijrahan itu adalah supaya umat Islam menjadi insan yang lebih baik daripada segenap aspek.
“Umat Islam Melayu khususnya perlu berazam untuk memajukan diri demi mengukuhkan perpaduan ummah dan keharmonian negara serta terus berjaya dalam bidang sosial dan ekonomi.
“Beta juga mahu agar sejarah penghijrahan dan perjuangan Rasulullah SAW terus dihayati oleh rakyat ke arah memperkuatkan akidah serta mengembangkan ajaran dan nilai hidup umat Islam yang baik dan mulia,” titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Selangor Royal Office di sini hari ini.
Dalam kenyataan itu juga, Sultan Sharafuddin berkenan Moto Istana Selangor ‘Pertahan dan Setia Kepada Agama Islam’ digunapakai serta dipraktikkan oleh sekalian Orang Besar Istana, Ahli Dewan Diraja, Orang Besar Daerah dan kakitangan Istana Selangor.