Sultan Selangor bimbang kes rasuah meningkat - Utusan Malaysia

Sultan Selangor bimbang kes rasuah meningkat

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan segelintir pegawai dan kakitangan penguatkuasaan di negeri ini mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Selangor menerusi kenyataan dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasmi Selangor Royal Office menzahirkan rasa bimbang terhadap peningkatan kes-kes gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan penguatkuasaan kerajaan khususnya di negeri ini.

Dalam titahnya, baginda menyeru dan menasihatkan pegawai dan kakitangan penguat kuasa di semua majlis-majlis kerajaan tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan semua jabatan kerajaan lain yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang supaya tidak melibatkan atau mendekatkan diri dengan segala perbuatan rasuah dan perkara-perkara yang membolehkan tohmahan rasuah dan penyelewengan.

“Ini termasuk juga aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan. Perbuatan sebegini perlu dielakkan sama-sekali daripada dilakukan.

“Beta juga menegaskan bahawa Islam melarang keras perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan jawatan dan kuasa. Gejala rasuah merupakan perbuatan mengkhianati amanah negara dan masyarakat,” titah baginda.

Titah baginda, tindakan segelintir mereka yang terlibat dalam jenayah tidak bermoral ini mencemarkan reputasi dan imej kerajaan dan pihak berkuasa yang terlibat.

“Laporan media yang meluas tentang kesalahan jenayah rasuah yang dilakukan ini menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan. 

“Seandainya gejala rasuah ini terus berlaku dengan berleluasa ianya akan menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan jabatan-jabatan penguat kuasa dalam melaksanakan tindakan undang-undang di negara ini,” titahnya.

Sultan Sharafuddin turut menyeru agar semua pegawai dan kakitangan penguat kuasa menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan berhemah, mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan selain perlu bersikap adil kepada semua pihak ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan. 

“Sikap berhemah dalam mengambil sesuatu tindakan perlulah sentiasa diutamakan demi memelihara ketenteraman dan keamanan awam. Laksanakanlah tanggungjawab anda semua dengan penuh amanah demi rakyat dan negara,” titah Sultan Selangor. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya