KUALA LUMPUR: Terbitan pertama nota kewangan jangka sederhana Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM3 bilion di bawah program Sukuk Wakalah dengan nilai nominal sehingga RM10 bilion mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelabur dalam dan luar negara.
Tawaran itu yang ditetapkan pada 29 Julai lalu selepas proses rundingan selama satu hari dan telah berjaya menarik minat pelbagai pelabur dalam pasaran modal meskipun dalam keadaan pasaran global yang mencabar dan kesan daripada wabak Covid-19.
TNB dalam kenyataan berkata, terbitan sukuk itu terlebih langgan hampir empat kali ganda dengan permintaan pada jumlah keseluruhan langganan RM7.82 bilion semasa kemuncak proses rundingan melibatkan lebih 41 akaun melibatkan pengurus dana, firma insurans hayat, dana persaraan, bank dan syarikat korporat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, permintaan tinggi daripada pelabur menunjukkan petanda jelas keyakinan pasaran modal dan kelestarian jangka panjang perniagaan TNB. – UTUSAN ONLINE